Saturday, December 18, 2010

(LAW OF ATTRACTION)

HUSNUZON DAN KAITANNYA DENGAN HUKUM TARIKAN 
(LAW OF ATTRACTION)



Hukum tarikan (Law of Attraction) merupakan satu hukum alam dari sudut Fizik Kuantum. Kita umumnya pernah mempelajari tentang hukum graviti (Law Of Gravity) yang merupakan salah satu dari hukum alam yang diperakui dari segi sains dan diterima oleh Islam sebagai salah satu hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, Pencipta alam semesta. 


Dalam hukum graviti, apa juga akan tertarik ke bumi oleh tarikan graviti. Tidak kira siapa anda, bangsa atau agama, baik atau jahat, sekiranya anda terjun dari tingkat sepuluh menara KLCC, anda sudah pasti akan jatuh ke bumi. Ini adalah kerana hukum graviti sentiasa berlaku dan tidak pernah gagal menjalankan sistemnya yang telah ditetapkan oleh Allah, kecuali di dalam beberapa kes tertentu atas kehendak Allah, hukum graviti tidak berlaku seperti dalam peristiwa Isra' dan mi'raj Rasulullah SAW, di mana diriwayatkan bahawa ada sebuah batu yang ingin mengikut Nabi ke langit, tetapi tidak diizinkan Allah.




Maka batu yang baru naik beberapa meter ke udara itu terhenti dan terapung-apung di udara, tidak jatuh ke bumi semula. Mengikut logik sains, batu itu seharusnya sudah jatuh ke bumi kerana wujudnya tarikan graviti. Namun Allah menghendaki supaya batu itu tergantung di tempatnya sehinggalah tiba pada batas waktu yang ditetapkan Allah.

Manakala dalam hukum tarikan pula, prinsipnya ialah suatu cetusan fikiran akan menarik cetusan fikiran lain yang sama dengannya. Dalam erti kata lain, ianya boleh difahami dengan tiga perkataan iaitu: "Fikiran Menjadi Kenyataan (Thoughts Become Things)".

Para pengkaji Hukum Tarikan telah menyenaraikan banyak terjemahan pada prinsip ini, seperti:

"You Are What You Think You Are"

(Anda adalah apa yang anda fikirkan tentang diri anda)

"If You can See It In Your Mind, You Can Hold It In Your Hand"

(Jika anda boleh melihatnya di dalam fikiran anda, anda boleh memegangnya di tangan anda)




Umumnya, setiap hari manusia pasti akan berfikir, sama ada tentang masa lalu, masa kini, masa depan, tentang urusan-urusan harian dan sebagainya. Terdapat pelbagai cetusan fikiran setiap hari, yang dicetuskan oleh minda kita daripada pelbagai arah dan tentang pelbagai perkara. Dari segi sains, otak normal seseorang manusia mampu mencetuskan kira-kira 60,000 cetusan fikiran sehari. Menurut kajian Fizik Kuantum, setiap cetusan fikiran mempunyai gelombang (frekuensi). Otak manusia mengeluarkan frekuensi setiap kali manusia itu berfikir dan frekuensi ini mempunyai signal magnetik yang sangat kuat.


Anda tidak dapat melihat frekuensi dari gelombang otak tetapi anda boleh mengambil contoh dari frekuensi telefon bimbit anda, atau frekuensi radio, yang mana frekuensinya juga tidak dapat dilihat oleh kita, tetapi kita amat menikmati faedah dari gelombang-gelombang radio dan telefon bimbit kita setiap hari.


Bagaimanakah frekuensi telefon bimbit anda berfungsi? Ramai juga yang tidak tahu tentangnya tetapi amat bergantung pada penggunaannya. Apa yang perlu kita tahu, jika kita mendail nombor telefon rakan kita, satu frekuensi akan dihantar ke satelit dan satelit akan mengenalpasti nombor penerima lalu menghantar isyarat ke telefon rakan kita. Kemudian selang beberapa saat, anda sudah dapat berbual dengan rakan anda walau pun jaraknya beratus batu dari anda.


Kesimpulannya, setiap frekuensi mempunyai isyarat untuk dihantar dan mampu diterima oleh sistem penerimaan yang tepat.


Persoalannya pula, ke manakah frekuensi yang dihantar oleh otak kita dan jenis frekuensi apakah yang kita hantarkan? Sebelum membincangkan hal ini dengan lebih mendalam, kita perlu memahami tentang kewujudan alam semesta ini.


Kita semua memahami bahawa alam semesta ini terdiri daripada tenaga yang dikenali dengan nama atom. Di alam semesta ini terdapat galaksi-galaksi, dan salah satunya adalah galaksi Bima Sakti, di mana terdapat sistem suria kita. Di dalam sistem suria kita pula terdapat sembilan planet, masing-masing dengan sistem orbit yang tersendiri, dan salah sebuah planet tersebut adalah planet kita, iaitu bumi.


Maka di bumi inilah manusia ditempatkan, di mana manusia pula terdiri daripada tubuh badan fizikal yang mempunyai sistem organ tubuh yang terdiri dari sel-sel badan, dan sel-sel badan ini pula terdiri dari atom. Manakala atom pula merupakan tenaga yang bergetar. Hakikatnya, seluruh alam semesta ini adalah berasaskan atom atau tenaga. 



Oleh itu, sedar atau tidak, kita semua adalah berhubungan antara satu sama lain dalam bentuk tenaga. Kita bukanlah hanya terdiri dari daging, darah dan nyawa, tetapi lebih dari itu. Manusia adalah penciptaan Allah yang sangat hebat. Firman Allah: 


Sesungguhnya manusia itu diciptakan dengan sebaik-baik kejadian. (Surah At-Tiin, Ayat 4)



Dengan itu, fahamlah kita sekarang bahawa di seluruh alam semesta ini terdapat banyak tenaga. 



Berbalik kepada persoalan kita tadi, frekuensi yang dikeluarkan oleh otak manusia akan terpancar ke seluruh alam semesta dan akan menarik tenaga yang ada di persekitaran, lalu dipantulkan semula kepada kita, sebagai penghantar isyarat frekuensi tadi. Jenis tenaga yang ditarik adalah bergantung kepada jenis frekuensi yang dihantar.



Menurut kajian sains, hanya terdapat dua jenis frekuensi (gelombang) yang dikeluarkan oleh otak iaitu:

1. Frekuensi Positif

2. Frekuensi Negatif

Sebagai contoh:

a. Apa jua yang kita fikirkan, yang membuat kita merasa senang hati, selesa dan gembira, maka ini bermaksud otak kita sedang menghantarkan frekuensi positif.

b. Apa jua yang kita fikirkan, yang membuat kita merasa risau, sedih, marah, takut, khuatir atau was-was, maka bermakna otak kita sedang menghantarkan frekuensi negatif.

Apa yang berlaku seterusnya ialah, frekuensi ini, yang mempunyai signal magnetik yang kuat, akan mencari tenaga-tenaga yang ada di alam semesta yang mempunyai frekuensi yang sama, iaitu samada tenaga positif atau tenaga negatif, kemudian tenaga ini akan ditarik dan dipantulkan semula kepada orang yang berfikir tadi. 


Al Quran telah menyebut tentang kewujudan tenaga-tenaga yang disediakan Allah untuk ditarik oleh kita. Di antara ayat yang boleh kita jadikan rujukan ialah:


Dan di langit pula, terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu. (Surah Adz Dzariyaat, Ayat 22)



Kesimpulannya, lebih banyak tenaga positif di sekitar kita, maka lebih positif pula kehidupan kita dan begitulah sebaliknya. Sebagai contoh;



1. Lebih banyak kita merungut tentang sesuatu, maka akan lebih banyak perkara lain yang datang kepada kita untuk kita rungutkan.


2. Lebih banyak kita bersyukur, memberi dan menghargai (positif), lebih banyak pula kita akan menerima rezeki, penghargaan dan nikmat. 



Sekarang kita telah memahami konsep hukum tarikan itu sendiri dan bagaimana tenaga itu dimanifestasikan semula kepada kita. Dalam menjalani kehidupan seharian, kita sering tidak sedar apakah fikiran kita telah mengeluarkan frekuensi negatif atau pun positif.



Demikianlah hukum tarikan bekerja, sebagaimana firman Allah dalam hadis Qudsi seperti yang telah disebutkan awal-awal tadi, iaitu:


Naa ‘inda dzanni abdii bii, faliyadzunn bii ma syaa-a (Rowahu Thobarani wal hakam)


Ertinya:

"Aku akan bersama sangkaan hambaKu padaKu, maka hendaklah ia bersangka dengan apa yang ia inginkan". 



Maka jika kita bersangka baik atau positif, Allah akan mengikut sangkaan baik kita. Ini adalah kerana yang positif itu adalah sangkaan positif Allah pada kita. Sama juga jika kita berfikiran negatif, maka yang negatif itulah yang akan datang kepada kita.

Hukum tarikan ini adalah mencerminkan sifat Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang lagi Maha Memakbulkan permintaan dan doa hamba-hambaNya. Allah telah menciptakan otak manusia sebagai alat untuk mengeluarkan frekuensi bersifat magnetik, yang memancarkan frekuensi itu kepada alam semesta, sebelum dipantulkan semula kepada kita.

Dalam membicarakan soal keinginan kita, adalah penting untuk kita memahami apakah yang benar benar kita inginkan. Kita perlu memahami, seperti yang telah kita bincangkan dalam bab hukum tarikan, bahawa tenaga dari alam semesta akan tertarik oleh kita, sama ada kita sedari atau tidak, melalui cetusan fikiran dari minda yang mendominasi pemikiran kita, iaitu segala apa yang kita berikan tumpuan, tenaga dan juga perhatian yang mendalam, tidak kira negatif atau positif.

Permasalahan yang akan menyukarkan kita dalam mengaplikasikan konsep husnuzon(bersangka baik) adalah:
  • Kita suka memikirkan perkara yang kita tidak mahu
  • Kita selalu memperkatakan tentang perkara-perkara yang kita benci berulangkali
  • Kita terlalu memberi tumpuan, tenaga dan fokus kepada permasalahan hidup yang ingin dihindari
  • Kita berulangkali merungut tentang sesuatu yang tidak disenangi


Apabila kita memberi fokus, tumpuan dan tenaga kepada hal-hal yang kita tidak suka, tenaga-tenaga dalam bentuk hal-hal yang ingin kita hindari akan lebih banyak ditarik kepada diri kita dan mengakibatkan hal-hal yang tidak kita inginkan ini masih berlaku berulangkali, melanda kehidupan kita. Oleh itu, kita mestilah memberikan fokus, tumpuan dan perhatian yang maksima, kepada perkara-perkara yang kita inginkan, berlaku dalam hidup kita, seperti:

  • Banyakkan berbincang atau memperkatakan perkara yang kita sukai dan sayangi.
  • Berikan tumpuan kepada penyelesaian masalah dan cara mengatasinya.
  • Memahami dan mempercayai bahawa setiap masalah pasti ada penyelesaiannya.
  • Berhenti daripada mengeluh tentang nasib buruk dan apa jua yang selalu kita rungutkan.
  • Sentiasa berterima kasih, menghargai dan bersyukur.

Untuk mengenal pasti keinginan anda, cuba ikuti langkah-langkah berikut:

PERKARA YANG TIDAK DISUKAI

KEINGINAN ANDA
1. Hutang dan masalah kewanganKekayaan harta dan wang ringgit
2. Masalah kesihatanTubuh badan yang sihat, zahir dan batin
3. Masalah percintaanPasangan yang ideal dan kasih sayang yang cukup.
4. Masalah sikap: malasRajin dan bersemangat
5. PelupaTajam minda, cerdas dan produktif
6. Selalu lewatSentiasa awal dan berdisiplin
7. Kehidupan yang rumitDipermudahkan urusan dunia dan akhirat
8. Tidak suka keadaan tubuh fizikalTubuh fizikal yang menarik


Anda juga boleh membuat senarai sendiri, mengikut kesesuaian situasi atau keperluan diri anda. Setelah kita mengenalpasti segala apa yang ingin kita hindari dari hidup kita, maka kita dapat pula mengenalpasti akan apakah sebenarnya yang kita inginkan berlaku atau miliki dalam hidup kita seperti yang dinyatakn dalam contoh di atas.

Langkah seterusnya selepas anda mengenalpasti keinginan anda, ialah cuba berhenti dari sering memperkatakan dan merungut tentang hal-hal yang anda tidak sukai tadi.

Berikan fokus dan tumpuan anda kepada hanya perkara-perkara yang anda inginkan kerana kita telah memahami bahawa dalam bab hukum tarikan, anda akan menarik tenaga yang sama frekuensi dengan apa yang dicetuskan oleh minda anda. Cuba jadikan perkara-perkara yang anda sukai dan inginkan, sebagai cetusan minda yang dominan dalam diri anda.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...