Friday, September 21, 2012

Rahsia Kemenangan Salahuddin Al-Ayubi

Assalamualaikum dan salam ukhuwwah buat semua. Sebentar tadi baru sahaja berlaku satu event di KMB yang bernama "The remembrance of Al-quds" atau nama lainnya ROQ. 

Actually sedih jugak sebab tak menang pertandingan video tadi, tapi lillahita'ala insyaAllah. Jadi konklusinya, saya mengalami 'mental breakdown' yang sangat kronik sekarang ni actually. Tak tahu kenapa, tapi saya sedang menaip tapi sambil menahan rasa sakit di dada. MasyaAllah ujian yang maha hebat dimana mungkin tiada doktor yang mampu mendiagnosis penyakit saya ni. Jadi mahu ringkaskan cerita, saya hendak berkongsi satu cerita hebat yang bukan sekadar sejarah, tetapi menjadi simbol agung sejarah islam. Tajuknya  ialah rahsia kemenangan Salahuddin Al-Ayubi membuka baitul maqdis.

Jadi beginilah ceritanya....




Telah banyak makalah, jurnal, buku serta tulisan ringkas yang membongkar rahsia serta strategi perang Sultan Salahuddin Al Ayubi sepanjang kempen pembebasan Baitulmaqdis dilancarkan. Umum mengetahui Salahuddin hanya serius dengan gagasan pembebasan Baitulmaqdis selepas Jeneral Birnis (panglima tentera Salib berpusat di Syam tidak termasuk Damsyik) cuba menceroboh Mesir yang pada waktu itu masih berada dalam pemerintahan Dinasti Fatimiyyah (Syiah) di bawah pemerintahan Khalifah A A’dhid. Umum juga mengenali bahawa beliau seorang yang cukup warak dan bertimbang rasa dalam berperang sehingga mampu menggugurkan semangat juang Philip, Raja Raymond dan Raja Richard I (The Lion Heart).

Namun masih banyak ruang kajian dan penulisan yang boleh kita sajikan apabila kita cuba meneliti sikap pro aktif beliau dalam menyusun tentera, pra-emtif yang berkesan dilakukan, sikap optimis terhadap janji kejayaan Rasulullah SAW serta beberapa strategi perang beliau yang cocok dengan teori Jeneral Tsun Zu dari benua China yang lahir 500 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa AS. 
Dalam bulan Zulkaedah 570 Hijrah (Mei 1175 Masihi), khalifah Abbasiyyah mengisytiharkan Salahuddin al-Ayubi sebagai Sultan Mesir dan menggelarkan dirinya sebagai Sultan al-Islam wa al-Muslimin. Pada tahun itu juga beliau membina kota pertahanan di Kaherah selepas berjaya menundukkan tentera Sultan Nuruddin Az Zanki (yang merupakan Sultan beliau juga) yang telah terpedaya dengan hasutan golongan Syiah Mesir untuk mencurigai kesetiaan beliau.

Taqwa dan ilmu teras kekuatan remaja Islam

Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Beliau juga mengetahui setiap suku kaum Arab dan adat-adat mereka. Inilah teras utama rahsia kekuatan Salahuddin. Bahkan beliau mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun beliau orang Kurdis. Salahuddin sangat gemar mengumpul pengetahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Qur'an, beliau juga banyak menghafal syair-syair Arab. Sesiapa yang rapat dengannya mengakui bahawa Salahuddin adalah seorang Islam yang taat kepada Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan tekun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan Salahuddin memberikan masa untuk rakyat dua kali seminggu, iaitu pada hari Isnin dan Selasa. Pada masa ini ia akan berbahas dengan pembesar-pembesar negara, ulama dan Qadi. Pemuda dan remaja di Mesir, Aleppo dan Damsyik dianggap telah dihinggapi penyakit wahan (cinta dunia dan takut mati). Salahuddin telah menggagas sebuah festival yang diberi nama peringatan Maulid Nabi Muhammad. Ahli akademik segelintirnya seperti Imam Jalaluddin al-Suyuty dalam kitabnya Al-Haawii li al-Fataawii, Juz I, hal 252, menjelaskan maulid nabi diasaskan oleh Mudzofar Abu Said al-Qokburi, seorang gabenor Irbil di Iraq pada masa pemerintahan Salahuddin al Ayubi (1138-113) sekitar tahun 630 H. Tujuannya untuk menumbuhkan dan membangkitkan semangat perjuangan. Di festival ini akan dikaji habis-habisan sirah nabawiyah (sejarah nabi) dan atsar (perkataan) sahabat, terutama yang berkaitan dengan nilai-nilai jihad. Festival ini berlangsung dua bulan berturut-turut. Hasilnya amat memberangsangkan. Ramai pemuda tanah jajahannya mendaftar untuk berjihad membebaskan Palestin. Peribadinya yang tidak boros dan gemar bersedakah menyebabkan beliau tidak pernah membayar zakat harta kerana hartanya tidak pernah cukup nasab. Inilah ciri peribadi pemimpin yang ditunggu ummah. Selain itu semasa beliau meninggal dunia, beliau hanya meninggalkan beberapa dinar sahaja serta tidak langsung memiliki sebuah rumah!

Mengambil tanggungjawab

Salahuddin dilahirkan di dalam sebuah keluarga Kurdish di Tikrit dan dihantar ke Damsyik untuk menghabiskan pelajarannya. Ayahnya, Najmuddin Ayyub, ialah gabenor wilayah Baalbek. Selama 10 tahun Salahuddin tinggal di Damsyik di kawasan istana milik Sultan Nuruddin Az Zangki yang memerintah secara autonomi kawasan Aleppo (Halab) dan Damsyik serta taat dan setia kepada Empayar Abbasiyyah di Baghdad. Salahuddin menerima latihan ketenteraan daripada bapa saudaranya, Asaduddin Shirkuwah (dikenali sebagai Shirkuh) yang juga ketika itu merupakan panglima kepada Sultan Nuruddin dan sering mewakili Sultan Nuruddin dalam kempennya menentang Kerajaan Fatimiyyah di Mesir sekitar tahun 1160 M. Namun hal ini berubah apabila Mesir mulai cuba diceroboh oleh Birnis Arnet dengan kerjasama Syawur (Perdana Menteri Mesir Fatimiyyah). Sultan Nuruddin menerima surat permohonan bantuan daripada Khalifah Al Adhid yang meminta Aleppo (Halab) mempertahan Mesir agar tentera Kristian tidak mampu memasuki Aleppo melalui Mesir. Sebagai anak muda yang cintakan tempat permainan, Salahuddin merasa berat hati pergi ke Mesir. Tetapi punca kekuatan Salahuddin ialah berani mengambil tanggungjawab. Selepas Bapa saudaranya meninggal dunia , Salahuddin berani mengambil tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Mesir bekerja dengan kerajaan Syiah walaupun beliau adalah ahli sunnah wal jamaah. Peta menunjukkan Salahuddin mampu mengepung Baitulmaqdis sedikit demi sedikit melalui plan memerintah Mesir.

Keluarkan musuh ke tempat sukar

Semasa Najah, ketua pengawal istana Fatimiyah dibunuh kerana bersubahat dengan tentera Salib, orang Sudan marah dan ingin melanggar Mesir. Najah adalah orang Sudan yang diambil bekerja dalam istana Mesir atas sebab hubungan diplomasi. Salahuddin yang waktu itu menjadi Perdana Menteri Mesir menggantikan bapa saudaranya, Asaduddin Syurkuwah yang meninggal dunia, telah mengambil keputusan untuk mengalahkan tentera Sudan melalui strategi terbaik. Pasukan Sudan ditipu sehingga mereka memasuki Padang Sinai. Tentera Sudan yang kurang mahir dengan perang terbuka padang pasir mengaku kalah kerana kehausan, sesat dan jatuh moral melihat suasana padang yang luas tanpa penghujung. Mengeluarkan musuh jauh ke kawasan yang lapang adalah strategi maut yang kerap digunakan oleh tentera Arab zaman itu.

Budi pekerti dan adab berperang

Menurut kawan karibnya Bahauddin, jika berada dalam medan perang, beliau bagaikan seorang ibu garang kehilangan anak tunggal. Beliau bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah. Suatu hari, Raja Richard[1] jatuh sakit. Mendengar khabar itu, Salahuddin mengirimkan doktor terbaiknya untuk mengubati Raja Richard. Hingga kini, adakah mudah kita menemui pemimpin kaum muslim yang memiliki akhlak seperti Salahuddin? Pernah dalam suatu pertempuran, Raja Richard melihat pedang Salahuddin tumpul dan baginda menghentikan perang hari itu untuk memberikan kesempatan agar Salahuddin mengasahnya kembali sebagai membalas jasa Salahuddin.

Serang musuh tatkala musuh sedang leka

Semasa tentera salib sedang leka selepas berjaya merasuah pemimpin Kota Aidzab da Ailah, tentera laut Shamsuddin serta kapal-kapal bantuan Mesir datang menyerang secara mengejut. Semasa kemuncak Salahuddin ingin ke Baitulmaqdis, beliau bercadang menyerang Kota Bisan seterusnya Kark. Tetapi kota Kark menempatkan terlalu ramai musuh. Salahuddin mengikuti kaedah Rasulullah menawan Khaibar iaitu berpura-pura meuju ke Ghaftan, dalam perjalanan Baginda berpatah kembali ke Khaibar dan menyerang musuh semasa musuh leka. Semasa Salahuddin sengaja ke Kark, Panglima Birnis mengalihkan semua tentera ke Kark mengakibatkan Salahuddin mudah menakluki Kota Bisan.

Tipu helah dalam perang

Suatu ketika semasa Salahuddin sedang memperkuatkan tentera laut dimana komander tentera lautnya diketuai oleh abangnya sendiri, Shamsuddin Ayubi, beliau mendapat khabar bahawa penduduk pesisir pantai Iskandariyah telah ada yang menjadi pengkhianat dan perisik kepada tentera Salib. Lantas beliau mengarahkan tentera menyerang Baniyas iaitu pintu masuk ke Palestin. Kini Baniyas terletak di Bukit Golan iatu suatu kawasan ketenteraan yang amat strategik. Alasannya adalah jika di Baniyas tentera Islam mudah untuk menang, moral dan semangat mereka akan meningkat kerana Baniyas ditempatkan kem-kem tentera Salib yang terbesar. Komander Salib bernama Barnis Arnet juga tidak percaya maklumat risikan bahawa Salahuddin akan menyerang dari arah Baniyas. Salahuddin memerintahkan tentera memilih jalan kanan Baniyas yang berbukit yang cukup tidak diduga oleh musuh. Tsun Zu juga memberi nasihat berabad sebelum itu bahawa jangan sesekali ambil jalan yang disangkai oleh musuh serta mulakan serangan di kawasan yang tidak dipedulikan musuh. Kerana kebijaksanaan itu, tambahan pula serangan dibuat pada waktu subuh, ramai tentera Salib berjaya ditawan. Bantuan laut juga dikalahkan oleh Samsuddin yang sedia menanti. Akan tetapi masih ada pegawai Salib yang melarikan diri ke Khusnul Ahzan iaitu tembok besar dibina oleh Kristian. Ia kukuh dan setinggi 30 depa. Mustahil untuk dipanjat dengan adanya skuad pemanah dan penembak Salib di atasnya. Salahuddin menyamarkan diri sebagai penduduk tempatan. Beliau menanyakan cara untuk masuk ke Kota itu. Tentera salib terpedaya sehingga menjelaskan bahawa mereka makan sebanyak 20 ekor unta sehari. Salahuddin terus menyatakan bahawa jumlah tentara Salib sekitar 2000 orang kerana secara logiknya 10 orang akan makan ekor unta sehari. Malah apabila pintu kayu tebal dijumpai, Salahuddin mengarahkan tenteranya menggali parit dan membakar pintu dari arah luar. Disebabkan tentara salib tidak tahan panas, mereka membuka pintu dan semua tentera salib ditawan tanpa menitiskan darah langsung! Cukup selaras dengan ajaran Tsun Zu, menewaskan musuh tanpa berlawan adalah kejayaan yang paling sempurna. Tentera Birnis yang cuba menyerang Salahuddin secara sembunyi di Baniyas juga tertipu apabila Salahuddin berpura-pura meninggalkan Baniyas kemudian kembali menawan Birnis. Perjanjian damai seketika dibuat pada saat tersebut manakala Birnis dibebaskan.

Memusnahkan sumber musuh tanpa menghakis nilai kemanusiaan.

Semasa Salahuddin mengepung Kota Sinjir yang tinggi dan kukuh, beliau dapati walaupun dikepung hampir sebulan, ia belum berjaya mengalahkan musuh. Selepas melakukan solat hajat, Salahuddin mendapati terdapat aliran air sungai masuk ke kota dan ia menjadi sumber air musuh. Salahuddin melarang tenteranya meracuni air sungai itu kerana Islam melarang merosakkan air. Beliau berusaha mengubah aliran air agar air tidak masuk ke dalam kota sahaja. Dalam beberapa hari sahaja tentera Sinjir menyerah diri.

Menyatukan dua gergasi

Selepas menunjukkan prestasi yang cemerlang menawan kota berhampiran Baitulmaqdis, Salahuddin mengutus surat kepada dua Khalifah iaitu di Baghdad (Abbasiyyah) dan di Cordova (Umayyah) untuk bersatu menentang tentera Salib. Hal ini menjadi sejarah kerana tiada seorang individu pun yang berjaya menyatukan dua kerajaan gergasi ini dalam sesuatu isu atau hal melainkan dilakukan oleh Salahuddin.

Rahsia pedang

Sebenarnya kekuatan tentera Mamluk pimpinan Salahuddin tidak terletak kepada kepimpinan Salahuddin semata-mata, tetapi ia melibatkan kekuatan teknologi ketenteraan pada waktu itu yang melebihi kekuatan teknologi dunia Barat. Daripada banyak teknologi ketenteraan yang dirintis oleh dunia Islam pada waktu itu, terdapat satu teknologi yang sehingga sekarang tidak dapat dirungkai dengan terperinci oleh saintis dari Barat iaitu teknologi pembuatan Pedang Damsyik![2] Kota Damsyik yang kini ibu negara Syria (negara Sham) turut terkenal dengan peralatan pedang hinggakan Suyuf ad Damasy atau pedang Damsyik pernah disebut dalam kitab Al-Kindi. Keistimewaan Salahuddin Al-Ayubi telah dibongkar oleh Prof. Dr. Peter Paufler dan kumpulannya di Teknikal Universiti Dresden, Jerman apabila mereka menemui carbon nanotube di dalam pedang yang digunakan oleh Salahuddin Al-Ayubi dan tentera-tentera Islam dalam peperangan salib. Carbon nanotube inilah yang telah menjadikan pedang-pedang pejuang Islam sangat istimewa, mulur tetapi amat tajam. Penemuan ini telah diterbitkan oleh jurnal Nature (antara jurnal saintifik paling berpengaruh di dunia) tahun 2006 (www.nature.com). Ketajaman Pedang Damsyik ini turut digeruni oleh tentera-tentera salib pimpinan Birnis dan Raja Richard the Lion Heart. Ini kerana pedang ini mampu menembusi perisai dan baju besi milik mereka. Bahkan, pedang ini mampu mematahkan pedang mereka dengan sekali hayunan. Ketajaman Pedang Damsyik merupakan salah satu sebab kemenangan besar Islam dalam siri-siri peperangan Salib itu. Dalam satu peristiwa, Salahuddin telah memenggal kepada Raynald de Chatillon akibat perbuatan kejinya yang membunuh ratusan orang Islam dan Yahudi yang tidak bersalah. Salahuddin yang terkenal adilnya telah mencantas kepala Raynald de Chatillon dengan pedang miliknya yang diperbuat daripada besi Damsyik itu seperti memotong roti.

Pengiktirafan Barat

Salahuddin mendapat reputasi besar di Eropah sebagai seorang panglima yang berjaya, sehinggakan wujudnya pada abad ke-14 sastera epik mengenai kejayaannya, dan Dante meletakkannya di kalangan roh baik dalam karya Limbo. Salahuddin muncul sebagai sebuah watak dalam karya tulisan Sir Walter Scott iaitu The Talisman (1825). Salahuddin Al-Ayubbi amat dihormati di kalangan para bangsawan Kristian terutamanya Raja Richard. Raja Richard pernah memuji Salahuddin sebagai seorang putera agung dan merupakan pemimpin paling hebat dalam dunia Islam. Selepas perjanjian damai ditandatangani, Richard dan Salahuddin bertukar-tukar hadiah di antara satu sama lain sebagai lambang kehormatan. Walau bagaimanapun kedua-dua pemimpin ini tidak pernah bersua muka. Stanley Lane-Poole (penulis Barat) dalam bukunya Saladin and the fall of the Kingdom of Jerusalem mengesahkan, kebaikan hati Salahuddin mencegahnya daripada membalas dendam. Tenteranya sangat bertanggungjawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan sehingga tidak ada kedengaran orang Kristian dianiaya. Selanjutnya Lane-Poole bercerita mengenai tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitulmaqdis kali pertama pada 1099 M. Tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem, jalan itu dipenuhi mayat, orang Islam yang tidak bersenjata diseksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara rumah ibadat. Beliau meninggal dunia pada 27 Safar 589 Hijrah (1193 Masihi) pada usia 55 tahun di Damsyik, Syria selepas memerintah selama 25 tahun. Beliau sakit selama 14 hari sebelum menghembuskan nafas terakhir. Beliau meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang harta untuk diwariskan. Beliau dikatakan hanya memiliki 47 dirham wang perak dan 1 dinar wang emas. Urusan penyelenggaraan jenazah ditanggung oleh keluarga beliau, manakala kain kafannya diberikan oleh para menteri.
Jadi, harap dapat diambil Ibrah dan pengajaran dari cerita insan yang hebat ini.
Doakan saya cepat sembuh dari penyakit hati ini ye :) jazakumullahukhairan :)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...